Bonus Kepada Produk: Perlu Atau Tidak?

Seperti yang saya janjikan sebelum ini, saya akan menulis sedikit pandangan saya mengenai bonus.

Bonus dalam maksud yang lain ialah hadiah atau pemberian percuma terhadap pembelian produk utama. Katakan anda menjual satu produk A, maka untuk menggalakkan orang membeli produk utama tersebut, maka anda menyediakan bonus (hadiah) tertentu.

Saya yakin, paling kurang anda pasti menemui sekurang-kurangnya sekali tawaran bonus di mana-mana laman web jualan, tak kisah ebook atau apa jenis produk pun.

Apakah Pro dan Kontra Bonus?

Walaupun bonus bagus untuk meningkatkan jualan, namun ada juga kontranya. Sepertimana kata Alang (yang saya nyatakan di artikel sebelum ini), beliau tidak meletak bonus kepada jualan ebook Rahsia Zango kerana tidak mahu pembeli kecewa atau ‘tidak bersuara’ semata-mata kerana telah ‘disuap’ dengan bonus. Saya setuju dengan pendapat Alang.

Jika dilihat secara asasnya, seolah-olah meletak bonus adalah semata-mata untuk menutup kekurangan produk utama. Pernyataan ini ada betulnya hanya apabila produk utama ada kekurangan. Jika produk bagus dan bonus pun bernilai, maka pembeli pasti berpuas hati berkali-kali ganda berbanding hanya mendapat produk utama sahaja.

Kontra meletak bonus hanya akan berlaku jika produk utama amat kurang nilainya berbanding bonus yang diberikan. Kesimpulan pertama di sini ialah, pastikan produk utama anda lebih bagus daripada bonus yang diberikan. Jika kurang yakin, jual sahaja dulu produk utama untuk mendapat maklum balas pembeli.

Manakala kelebihan dengan memberikan bonus ialah, sudah pasti jumlah jualan akan naik mencanak. Nisbah antara meletak bonus dengan tidak meletak bonus mungkin sedikit berbeza. Ini kerana lumrah manusia yang sukakan sesuatu secara percuma.

Tapi awas! Tak ada gunanya memberikan hadiah jika produk utama tak seperti yang digambar dan dijanjikan di laman web jualan. Jangan sesekali jejaskan ‘maruah’ produk utama akibat kerana ‘rasuah’ bonus.

Jika anda ingin memberi bonus kepada produk utama anda, ada beberapa tip yang boleh diamalkan:

1. Pastikan ia unik dan berkualiti. Jika bonus tersebut turut diberikan oleh pihak lain, maka kekuatan bonus itu mungkin menurun. Bagaimana inginkan bonus yang unik? Salah satu caranya ialah dengan menyediakan bonus yang dihasilkan sendiri.

2. Bonus yang berkaitan dengan produk. Ramai yang lakukan kesilapan besar dalam pemberian bonus. Contohnya mereka menjual produk berkaitan kesihatan, tapi bonusnya yang bernilai ribuan ringgit adalah berkaitan dengan Internet Marketing yang langsung tak berkait dengan kesihatan. Cara ini kurang berkesan. Sebaliknya, berikanlah bonus yang berkaitan dengan produk utama.

Contohnya, jika anda menjual produk menurunkan berat badan, mungkin anda boleh berikan bonus carta pemakanan seimbang dan juga contoh jadual pemakanan seharian. Bonus sebeginilah yang amat digalakkan kerana ia menambahkan lagi nilai dan kekuatan produk utama.

3. Bonus yang boleh digunakan. Jangan bagi bonus yang bernilai ribuan ringgit, tapi ia tak boleh digunakan sebaik mungkin. Berikan bonus yang bermanfaat dan bernilai kepada pembeli. Biar mereka puas hati. Jangan sekadar untuk mengaburkan mata mereka semata-mata.

4. Biar logik dan masuk akal di fikiran pembeli. Saya ingat lagi tip yang diberikan oleh Osman Affan dalam bukunya Menjual Perkhidmatan di Internet. Katanya, mungkin ada ’something wrong’ dengan produk yang berharga sekian, tapi diberikan bonus yang berpuluh kali ganda daripada harga produk utama.

Pelik tapi benar. Bayangkan, anda perlu bayar RM100 sahaja, tapi diberikan bonus bernilai RM2000. Mesti ada sesuatu yang tak kena. Mungkin produk utama tak berkualiti sangat, atau mungkin bonus itu hanya indah khabar dari rupa. Jangan buatkan pembeli rasa ada sesuatu yang tak kena (ada kurang).

Jadi, kalau nak letak nilai bonus, biar berpada-pada. Jangan over dan ekstrem sangat. Seperti yang anda pernah lalui, ramai IM jika jual apa-apa produk dan kata akan bagi bonus bernilai ribuan ringgit, biasanya kita dah dapat agak apa bonus tersebut (terutama produk digital). Biasanya ia adalah himpunan ebook atau produk digital yang dah ketinggalan zaman, hype dan sudah tak boleh dipakai lagi.

Hakikat

Jika ada bakal pembeli bertanya “ada bonus tak kalau saya beli produk kamu ni?”, maka itu tandanya pembeli tu tak ada masalah kalau kita bagi hadiah kepada mereka. Bahkan sampai satu tahap, kalau kita tak bagi hadiah, mereka tak akan membeli produk kita.

Memanglah kita mahu menjual produk utama sahaja, tapi dalam masa yang sama, kita juga mahu menjual kepada mereka yang suka kepada bonus. Mereka ini adalah jenis yang tak kisah. Kalau ada kekurangan pada produk utama pun, mereka tak kisah. Janji mereka dapat bonus di samping produk utama.

Strategi

Saya ada beberapa cadangan strategi yang boleh digunakan untuk tingkatkan hasil jualan di laman web jualan:

1. Janjikan pemberian item percuma dari masa ke semasa. Jadi, mereka akan membeli produk utama dahulu. Pemberian percuma pula anda boleh bagi pada bila-bila masa untuk menambah-baikkan lagi hubungan anda dengan mereka. Tapi, jangan sekadar janji kosong. Kalau tak mampu, jangan buat cara ni.

2. Jadikan produk bonus sebagai back-end. Saya panggil cara ni sebagai teknik “reverse” iaitu di mana kita tak jadikan ia sebagai bonus terus dengan satu jualan. Sebaliknya, kita bagi pilihan kepada pembeli nak beli produk utama sahaja atau pakej back-end. Dengan cara ini, tak ada istilah bonus dah sebab kita dah buat dua pakej.

Saya amat sarankan cara kedua ini sebab seperti yang saya katakan sebelum ni, pembeli ni banyak jenis. Ada yang tak suka bonus dan ada yang suka. Jadi, buat dua pilihan pembelian (produk utama dan jualan back end).

Dengan menggunakan strategi back-end ini, anda akan buat keuntungan lebih jika ada yang membeli pakej back-end. Berbanding dengan hanya menjual produk utama sahaja, saya rasa lebih bagus jika buat dua pakej sebegini. Back-end ni bukan ‘janji manis’ seperti bonus, tapi ia adalah sebagai pilihan kepada pembeli.

Terserah kepada anda nak panggil cara ni sebagai back-end ke apa, asasnya ialah sediakan satu tawaran khas kepada pembeli selain produk utama.

Pelbagai Jenis Harga

Jika anda pernah perasan, ada Internet Marketer yang buat pelbagai jenis harga. Pakej A harga sekian, Pakej B harga sekian dan Pakej C harga sekian. Saya bagi contoh (cadangan) untuk produk Alang:

Pakej A (RM30.00) : Ebook Rahsia Zango + Forum Support

Pakej B (RM65.00) : Ebook Rahsia Zango + Forum Support + Konsultasi 1 jam di YM 1-to-1

Pakej C (RM135.00) : Ebook Rahsia Zango + Forum Support + Konsultasi 1 jam YM + Servis Website

Kesimpulan

1. Berikan bonus yang berkualiti, unik dan berguna kepada pembeli.

2. Jangan jadikan bonus semata-mata untuk mengumpan sahaja. Mengumpan dan betul-betul memberikan hadiah amat berbeza sekali. Hadiah seperti yang kita fahami adalah sesuatu yang boleh dihargai dan berharga. Jadi berikan sesuatu yang bernilai, bukan yang “sampah”.

3. “Convert” bonus kepada kaedah/strategi lain seperti back-end atau pelbagai pakej (harga). Maksimakan keuntungan jualan di laman web jualan dengan kaedah-kaedah sebegini. Kaedah ini bukan mengumpan, tapi kita sediakanpilihan kepada pembeli untuk memilih sesuatu yang mereka mahu. Berbeza dengan meletak bonus dengan satu harga, ia seolah-olah sogokan dan paksaan kerana tiada pilihan lagi untuk mereka.

Sekian.


Mengenai Penulis:  Zul atau lebih dikenali sebagai Zul SmartUsaha boleh dikenali dengan lebih mendalam melalui penulisan beliau di http://blog.smartusaha.com


Did you enjoy this post? Why not leave a comment below and continue the conversation, or subscribe to my feed and get articles like this delivered automatically to your feed reader.

Comments

No comments yet.

Leave a comment

(required)

(required)